KENYATAAN PERTUBUHAN PONDOK PERDANA : JUMAAT HARI TULISAN JAWI

Perisytiharan Hari Jumaat sebagai Hari Tulisan Jawi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Dr. Mujahid Yusuf kelmarin adalah satu langkah positif dari pihak kerajaan dalam menyegarkan kembali tulisan asal Bahasa Melayu -Islam itu yang sudah mengalami zaman gelap sejak tahun enam puluhan lagi kerana berlaku kesilapan perhitungan di kalangan para pemimpin Melayu pada waktu itu.

Bersempena dengan perisytiharan tersebut kita berharap satu komitmen yang tinggi akan ditunjukkan oleh pihak kerajaan, khususnya JAKIM berlandaskan kepada cita-cita politik yang mendalam di lubuk hati para pemimpin. Selain itu rakyat juga perlu memberi sokongan padu terhadap langkah positif tersebut tanpa mengambil kira pendirian politik atau pendekatan perjuangan politik secara umum masing masing. Kerana ini adalah langkah yang memberi keuntungan kepada semua pihak, termasuk rakyat Bukan Islam dan Melayu juga. Kerana jawi merupakan kunci bagi sebuah gedong ilmu yang sudah sekian lama tertutup rapat.

Tanpa komitmen seperti itu dari pihak kerajaan dan sokongan padu dari pihak rakyat perisytiharan semalam itu hanya akan menjadi ibarat debu yang ditabur atas dataran batu licin semata mata. Dalam masa yang singkat semuanya akan menjadi abu angin.

Selain itu semua birokrasi Islam dalam negara ini terutama JAKIM dan Jabatan-Jabatan Agama serta seluruh Organisasi Masyarakat (ORMAS) yang mempunyai kepentingan Islam-Melayu perlu berdiri teguh di belakang perisytiharan tersebut bukan sahaja dengan kata-kata seperti biasa tetapi juga dengan perbuatan.

Mekanisme khusus bagi pelaksanaan tersebut hendaklah dibangunkan agar kita dapat memaksimumkan hasil pencapaian dalam masa paling singkat.

Kami di Pertubuhan Pondok Perdana (PPP) telah pun memberi perhatian serius kepada usaha melestarikan semula tulisan jawi ini dengan menggalakkan penggunaan tulisan jawi dalam pertadbiran rangkaian pondok di bawah kami.

Berasaskan pengisytiharan tersebut juga kami berharap akan dapat mengadakan berbagai program yang berfaedah dengan kerjasama badan badan kerajaan seperti JAKIM, YADIM, MAWIP . Dewan Bahasa Dan Pustaka, Perpustakaan Negara dan sebagainya.

 

Mahmood Zuhdi Haji Abd MajidP PengerusiP Pondok Perdana (PPP)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *